Bekalan susu yang
tidak mencukupi, adakah ia kerana keturunan?
Persoalan : Saya sedang mengandung anak yang pertama dan akan
bersalin pada bila-bila masa sahaja. Bagi saya penyusuan susu ibu sangat penting. Saya
akan menyusu bayi saya sepenuhnya dengan susu sendiri dan melakukan yang
terbaik untuknya. Dulu ibu saya mencuba penyusuan dengan susunya sendiri tetapi
beliau tidak mempunyai susu. Apakah saya akan mewarisi masalah yang sama
seperti itu?
Jawapan
Adalah sesuatu yang merisaukan jika kita mendengar cerita
yang demikian rupa. Kebanyakan wanita merasa terganggu dan risau beberapa lama
bila mengenangkan kisah dan cerita ibu mereka yang menghadapi masalah bersalin
dan penyusuan. Sebenarnya, kemungkinan anda menghadapi masalah fizikal yang
akan menghalang dari menyusukan sendiri bayi anda amatlah kecil.
Jarang sekali berlaku seseorang ibu itu kekurangan susu
secara semula jadinya. Kebanyakan masalah yang wujud di awal-awal minggu
penyusuan adalah sementara. Ini akan pulih apabila aktiviti penyusuan menjadi
stabil. Bekalan susu yang tidak mencukupi selalunya boleh disebabkan oleh banyak
faktor.
Anda harus menggalakkan bayi anda menyusu dengan lebih kerap
dalam keadaan yang selesa. Bekalan susu akan berkurangan apabila bayi kurang
disusukan, menghadkan masa penyusuan dan kedudukan penyusuan yang tidak betul.
Bayi yang baru lahir perlu menyusu sekurang-kurangnya 10 -12 kali sehari.
Tetapi kebanyakan bayi akan menyusu lebih dari itu. Semakin kerap bayi menyusu
semakin cepat payu dara anda "kosong" dan semakin banyaklah susu
dihasilkan. Kebanyakan bayi akan mengambil masa selama 30-40 minit untuk setiap
penyusuan. Biarkan bayi anda yang mengawal penyusuan sehingga ia sendiri
melepaskan puting susu itu setelah puas dan bersedia.
Beberapa faktor dari ibu yang menyebabkan susu tidak
mencukupi ialah seperti merokok, megambil kafein berlebihan (mengambil lebih
dari 5 cawan kopi sehari), penggunaan ubat penenang, antihistamina atau pil
perancang keluarga. Pendarahan atau turun darah yang serius selepas bersalin,
anemia dan beguk atau hipotiroidisme (tiroid yang kurang aktif), di samping
pembedahan payu dara juga boleh menyebabkan kekurangan bekalan susu. Jarang
sekali terjadi di mana seseorang wanita itu kekurangan tisu glandular.
Bayi juga boleh menyumbang kepada masalah kekurangan bekalan susu. Masalah kesihatan bayi yang menyebabkan keadaan ini perlu dikenal pasti
oleh doktor. Mungkin bayi menghadapi masalah menghisap (biasanya ia bersifat
sementara). Bayi yang dilahirkan dengan frenulum (lipatan membran mukus di
bawah lidah) yang pendek atau keras akan menghadapi kesukaran menyusu
sehinggalah keadaan ini diperbetulkan atau kadangkala ia pulih dengan
sendirinya.
No comments:
Post a Comment